ALAMAT
-
Pusat Perubatan Universiti Malaya,
Lembah Pantai, 59100,
Kuala Lumpur, MALAYSIA
EMEL
- Emel : ummc@ummc.edu.my
TEL
-
No Tel : 03-79494422
Faks : 03-79492030
LAMAN WEB
- LAMAN WEB : www.ummc.edu.my
Dikemaskini Pada: 10/1/2018
1 Oktober 2018
Sukacitanya kami merujuk kepada artikel bertajuk “University hospital known as UH has endless construction going on (Sebuah Hospital Universiti dikenali sebagai UH yang tidak pernah lekang dengan kerja-kerja pembinaan)” yang kononnya disiarkan di Malaysiakini namun tidak dapat ditemui di laman tersebut.
Pada dasarnya, artikel ini membuat dakwaan yang begitu serius terhadap pengurusan penyelenggaraan fasiliti seperti lif dan tandas (menurut pengarang ianya tidak ubah seperti fasiliti negara dunia ketiga). Artikel ini turut mendakwa tentang harga jualan di kantin begitu mahal (kami andaikan sebegini apabila ia dinyatakan sebagai “sangat tidak munasabah”) manakala caj meletak kenderaan yang begitu tinggi dikenakan kepada pesakit dikaitkan dengan isu pemberian tender kepada kroni. Pengarang turut mendakwa belia mendapat maklumat kononnya ada kroni yang membuat keuntungan dari perkhidmatan parkir, dan “lintah darat” ini mengaut keuntungan dari orang awam.
Berikut adalah jawapan balas dari pihak PPUM:
1. Artikel ini, biarpun didakwa kononnya diterbitkan di laman Malaysiakini, namun tidak dapat ditemui di mana-mana terbitan laman web tersebut. Justeru, kami tidak dapat memastikan kesahihan maklumat serta dakwaan yang diutarakan oleh pengarang.
2. Kami menganggap bahawa pengarang merujuk “Hospital Universiti” yang dimaksudkan sebagai Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana gelaran “University Hospital” (UH) tidak lagi digunapakai sejak hampir 2 dekad lalu.
3. Berkaitan isu “tidak pernah lekang dengan kerja-kerja pembinaan”, PPUM tidak pula menjalankan sebarang kerja pembinaan berskala besar kecuali bagi bangunan yang bakal dikenali sebagai “Plaza”. Perancangan pembinaan Plaza ini adalah khusus bagi melancarkan aliran keluar masuk trafik dan pesakit pada masa akan datang kerana peningkatan jumlah aliran manusia ke PPUM begitu mendadak sejak 10 tahun lalu dan dijangka meningkat bagi tempoh 10 tahun akan datang. Kerja-kerja pembinaan lain yang sedang berjalan cumalah kerja-kerja menaik taraf fasiliti usang seperti Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU), Unit Rawatan Kardiak, Wad-wad Penyakit Berjangkit, serta kemudahan akses bagi pesakit dan pelawat seperti laluan pejalan kaki yang lebih besar, pencahayaan yang lebih baik, penggantian bumbung yang bocor, kemudahan akses pengguna kerusi roda dan orang cacat penglihatan, dan banyak lagi. Perlu diingatkan bahawa, PPUM telah beroperasi lebih 50 tahun dan kebanyakan fasiliti telah begitu lama dan usang, seperti kemudahan tandas serta lif seperti yang dinyatakan oleh pengarang. Maka, kerja-kerja menaik taraf adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan adalah perlu dilaksanakan demi kemaslahatan para pesakit, kini dan masa depan. Juga perlu diingatkan bahawa, sewaktu siap dibina, PPUM hanya merawat sekitar 50,000 pesakit setahun sedangkan kini, PPUM menerima lebih 1.1juta pesakit setahun dengan jumlah pesakit luar sahaja melebih 5,000 orang sehari. Hospital ini perlu dinaiktaraf dan ditambahbaik dari semasa ke semasa untuk memenuhi keperluan dan permintaan pesakit serta orang awam, lantas menyediakan perkhidmatan perawatn sebaik mungkin kepada pelanggan.
4. Dari segi fasiliti, dakwaan pengarang bahawa “kebiasaannya, lif tidak berfungsi” adalah tidak benar. Kami mempunyai data yang menunjukkan bahawa dalam kebanyakan masa lif-lif kami berfungsi dengan baik. Namun kami tidak menafikan adakalanya, ia kerap rosak. Hakikatnya, terdapat beberapa lif yang telah lama beroperasi manakala terdapat juga lif yang beroperasi melebihi had kerana kekerapan tinggi membawa pesakit serta peralatan hospital naik dan turun setiap hari. Terdapat kelewatan dalam beberapa kerja pembaikan lif tersebut, namun ini bukanlah soal kekangan kewangan atau kekurangan kepakaran. Hal ini adalah berkaitan soal keselamatan dan peralatan khas di bawah pemantauan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Di bawah peruntukan undang-undang, hanya pihak vendor/operator (penyelenggara lif) dibenarkan melakukan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan lif. Dalam beberapa kejadian, pihak vendor/operator mengambil masa beberapa bulan untuk mendapatkan alat ganti sehingga menyebabkan kelewatan pembaikan, bukan disebabkan oleh pihak PPUM. Kami telah mengambil pelbagai langkah penyelesaian sementara dan jangka panjang bagi menangani masalah ini termasuklah menyediakan khidmat penjaga lif, biarpun kesan positif dapat dilihat, namun jumlah aliran orang ramai menggunakan lif adalah di luar kawalan dan mengatasi setiap langkah penambahbaikan yang telah diaturkan.
5. Manakala bagi isu tandas kelihatan “tidak ubah seperti di negara dunia ketiga”, kami memberi jaminan bahawa tandas dicuci dan diselenggara dengan kerap. Biarpun kami berhasrat melakukan pembaikan besar-besaran terhadap kemudahan tandas, kami tidak dapat melaksanakannya secara serentak kerana kami juga perlu memastikan kemudahan disediakan kepada orang awam. Namun apa yang cukup dikesali adalah, kebanyakan tandas yang telah selesai dinaik taraf, ia tidak akan bertahan lama sebelum ia rosak, mangkuk tandas pecah atau ditinggalkan dengan kesan tapak kasut. Salah laku vandalisme adalah salah satu masalah besar yang kami hadapi di PPUM dengan kes-kes kecurian pam tandas, injap, kepala paip dan sebagainya berlaku dengan begitu kerap. Hal ini menyebabkan PPUM terpaksa memperuntukkan ribuan ringgit setiap tahun untuk membaiki kerosakan dan mengganti kehilangan tersebut. Para pekerja pembersihan telah dijadualkan untuk membuat kerja-kerja pembersihan setiap 15 minit (dengan data yang direkodkan) di tandas-tandas yang kerap digunakan. Data-data ini boleh disemak jika perlu. Justeru, saya akui dakwaan tidak ubah seperti negara dunia ketiga, namun bukanlah pada kemudahan tandas, tetapi kepada sikap dan mentaliti pengguna itu sendiri. Tandas- tandas ini kelihatan seperti di negara dunia ketiga dek keran sikap para pengguna terbabit seperti gambar yang disertakan.
6. PPUM tidak mempunyai kantin. Di PPUM terdapat medan selera, kedai bakeri, restoran dan kafeteria. Merujuk kepada penggunaan istilah “kantin”, kami beranggapan pengarang memaksudkan “cafeteria” yang juga dikenali sebagai “Food Street” iaitu tempat makan yang disediakan bagi memenuhi keperluan golongan kurang berkemampuan. Harga makanan dan minuman di sini adalah di bawah pemantauan dan kami yakin ianya adalah berpatutan dan lebih rendah berbanding yang lain. Bagi tempat makan yang lain seperti MakCik, Secret Recipe, Gloria Jean dan sebagainya yang merupakan syarikat rantaian makanan besar, caj yang dikenakan adalah tertakluk kepada caj sama yang dikenakan di seluruh negara. Adalah tidak munasabah sekiranya ia didakwa lebih mahal di PPUm berbanding dengan cawangan di tempat lain. Sehubungan itu, kos sewaan ruang yang tinggi bukanlah suatu isu berkaitan harga yang tinggi berbanding cawangan lain.
7. Mengenai isu parkir, PPUM telah menswastakan perkhidmatan parkir kepada Metro Parking sejak lebih 4 tahun lalu. Hal ini dilakukan atas keperluan syarikat professional untuk menyediakan perkhidmatan parkir bagi memenuhi permintaan orang awam. Ini juga kerana parkir bukanlah perkhidmatan asas yang ditawarkan oleh PPUM. Proses pemilihan syarikat telah dilaksanakan mengikut piawaian dan syarat yang dikenakan oleh kerajaan, serta dilakukan di UM Holdings. Terdapat 8 syarikat yang bersaing dalam bidaan dan pemilihan dibuat berdasarkan reputasi pengalaman serta amalan terbaik. Caj parkir di PPUM adalah RM2 setiap satu jam dan kadar rata RM8 selepas jam 6 petang. Berbanding di Hospital Kuala Lumpur (HKL) caj yang dikenakan adalah RM 2 bagi jam pertama dan RM1 bagi setiap jam yang berikutnya. Di Institut Jantung Negara (IJN) kadar caj RM3 dikenakan bagi jam yang pertama dan RM1.50 bagi jam yang berikutnya, namun menawarkan ruang parkir tidak berbumbung kepada pelawat. Kadar diskaun yang didakwa oleh pengarang hanyalah diberikan kepada pesakit yang menerima rawatan di sini dan caj tersebut adalah bersekali dengan bil rawatan pesakit. Di seberang jalan PPUM, satu kawasan parkir tidak berbumbung, dibuka untuk orang awam dengan kadar caj RM1 sejam, dan kadar rata selepas waktu pejabat. Jika dibandingkan dengan kemudahan parkir di tempat lain di sekitarnya, seperti Hospital Pantai dengan caj RM3/jam, Jaya One dengan kadar RM3 bagi 2 jam pertama dan RM 3 bagi jam yang berikutnya, Amcorp Mall dengan kadar RM3 bagi jam pertama dan RM2 bagi jam berikutnya; kadar caj yang dikenakan oleh pengendali perkhidmatan parkir kami tidaklah begitu tinggi seperti yang didakwa oleh pengarang.
8. Salah satu sebab kadar caj PPUM adalah sedikit tinggi kerana jumlah lot parkir yang terhad. Ini juga bagi mengelakkan sesetengah pemilik kenderaan yang tidak bertanggungjawab meninggalkan kenderaan mereka di parkir PPUM unutk tempoh masa yang terlalu lama dan melampaui batas. Semasa kadar parkir adalah RM1 sejam, terdapat beberapa kenderaan yang senagaj ditinggalkan di PPUM untuk jangka masa yang lama dan menggunapakai sehingga 20% lot parkir. Dengan jumlah 4,000 hingga 5,000 (kadangkala lebih lagi) pesakit luar setiap hari, PPUM hanya boleh menyediakan 1,000 parkir pada satu-satu masa. Ini tidak termasuk keperluan 5,000-10,000 pelawat, rkira-kira 2,000 pelajar dan hampir 6,000 staf yang juga memerlukan kemudahan parkir setiap hari. Untuk itu, kami perlu memastikan jumlah parkir adalah mencukupi setiap kali dan segera dikosongkan apabila diperlukan. Denga kadar caj yang dikenakan, hal ini boleh dilaksanakan.
9. PPUM sedia maklum dengan kekurangan kemudahan parkir ini serta telah menyediakan beberapa kertas cadangan kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bagi menempatkan klinik pesakit luar di sebuah kompleks rawatan khusus dengan kemudahan parkir 2,000-2,5000 namun masih belum dapat direalisasikan biarpun telah dicadangkan sejak 3 tahun yang lalu. Ketua Pengarah EPU sendiri telah hadir melihat sendiri situasi di PPUM yang amat perlu menyediakan keperluan fasiliti baharu tersebut. himself has made a visit to see the condition in UMMC which desperately needs this new facility. Beliau menyatakan sokongan terhadap rancangan tersebut namun tidak boleh memberi jaminan berdasarkan keadaan semasa yang ia boleh dilaksanakan. Beberapa cadangan lain seperti perkhidmatan pengangkutan eco-bus, park and ride beberapa tahun lalu juga tidak dipertimbangkan.
10. Akhir sekali, tuduhan yang paling serius dan perlu diberi jawapan balas adalah mengenai wang yang dijana dari sewaan ruang serta pemberian kontrak kepada syarikat perkhidmatan parkir adalah diberikan kepada kroni serta eksploitasi keuntungan oleh sesorang yang tidak bertanggungjawab. Kmai bersedia menghadapi sebarang siasatan berkaitan perkara ini kerana setiap proses penilaian, pemilihan dan transaksi adalah dilakukan secara telus. Setiap proses yang dibuat adalah dimaklumkan kepada Jabatan Aundit Negara dan Kementarian Pendidikan Tinggi Malaysia (kini Kementerian Pendidikan Malaysia) melalui pelbagai saluran, justeru tiada sebarang perbuatan menyalahi undang-undang seperti dakwaan pengarang. Hasil yang dikutip dari syarikat-syarikat dikembalikan untuk kegunaan hospital, untuk rawatan pesakit dan dikategorikan sebagai “sumber dalaman”. Perlu difahami bahawa, geran kerajaan yang diperuntukkan kepada PPUM (misalnya pada 2018) adalah kira-kira RM400juta setahun (RM312juta adalah bagi pembayaran gaji) serta keperluan operasi kira-kira RM560juta setahun (dengan bantuan geran kerajaan). PPUM menggunakan sumber kewangan dari hasil seperti perkhidmatan parkir, serta sewaan ruang bagi mencukupkan keperluan kewangan untuk perkhidmatan rawatan, radiologi, endoskopi dan lain-lain yang diperlukan oleh pesakit kerana hampir keseluruhan pesakit di PPUM adalah pesakit yang menerima subsidi. Ini boleh dilihat berdasarkan caj rendah yang dikenakan kepada pesakit. Sebagai contoh, kadar caj katil di wad ICU adalah RM80 semalam berbanding RM2,500 atau lebih di hospital swasta, konsultasi pada kadar serendah RM5-15 berbanding RM75 atau lebih, pembedahan kecil bagi kes “trigger finger” pada kadar RM40 berbanding RM1,500 atau lebih di hospital swasta dan lain-lain lagi. Kadar-kadar caj ini dan hasil yang dikutip oleh PPUM adalah dinyatakan dengan jelas dalam laporan tahunan kami, dikemukakan dan sedia untuk dibaca di laman web kami. Sehubungan itu, apabila pengarang menyatakan “lintah darat yang mengaut keuntungan”, ia seolah-olah menyifatkan para pesakit kami kerana pesakitlah yang menerima manfaat daripada semua ini.
Secara amnya, apa yang didakwa oleh pengarang ini adalah tuduhan liar yang tidak berasas dan hanya rekaan semata-mata. Kami peka dan akur sekiranya pengarang menghadapi sebarang kesukaran ketika menerima rawatan atau melawat ke hospital kami, namun jika terdapat sebarang ketidakpuasan hati, ia boleh disalurkan kepada kami dengan cara yang betul. Kami kecewa dengan sikap pengarang yang membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa. Silakan tampil jika pengarang boleh mengemukakan bukti yang kukuh ke atas setiap tuduhan yang dibuat. Tanpa sebarang bukti, hal ini boleh dianggap sebagai fitnah yang dengan sengaja mahu menimbulkan persepsi negatif masyarakat kepada PPUM; sebuah institusi kesihatan yang telah memberikan perkhidmatan perawatan kepada rakyat lebih separuh abad. Perbuatan negatif sebegini tidak boleh dibiarkan dan sekiranya orang awam mempunyai maklumat siapakah pengarang di sebali artikel ini, kami di PPUM memohon kerjasama anda untuk tampil memberi maklumat agar keadilan dapat ditegakkan.
Kami mohon kepada orang ramai yang pernah melihat sendiri bagaimana PPUM telah bekerja keras memberi khidmat bakti tanpa mengenal erti lelah, untuk membantu PPUM menyebarkan dan menularkan jawapan balas ini menggunakan media sosial kerana adalah tidak adil dan tidak wajar kami menerima tuduhan tidak berasas ini. Terima kasih atas bantuan dan semoga tuhan merahmati jasa baik anda semua.
...Arkib