Detail News


  
KEJAYAAN USAHASAMA KONSORTIUM HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI AWAM
 Update on: 16/6/2017
 

15 Jun 2017

Teks Ucapan YB Dato Seri Idris Bin Jusoh
Menteri Pendidikan Tinggi

Alhamdulillah, syukur dapatlah kita bersama-sama di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian dan Aku Janji Konsortium Hospital Universiti Awam.

Memorandum Perjanjian atau MoA dan Aku Janji (pledge) yang ditandatangani adalah untuk mencapai hasrat dan objektif penubuhan Konsortium Hospital Pengajar Universiti Awam.

Kerjasama strategik antara 11 universiti awam yang menawarkan bidang perubatan ini dapat kita saksikan dengan cerminan permuafakatan melalui penubuhan secara pentadbiran Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia.

Sebagai langkah permulaan, 5 Hospital Pengajar Universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PPUIAM) dan Hospital Pengajar Universiti Teknologi MARA (HPUiTM) akan merintis jalinan kerjasama dalam melaksanakan prinsip kesepunyaan dan keserakanan.

Sebagai tanda sokongan, kerjasama strategik ini turut juga dilebarkan jaringannya kepada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang menawarkan program perubatan namun belum mempunyai hospital pengajar dengan menandatangani pledge (aku janji).

Inisiatif penubuhan KHUAM ini merupakan langkah awal yang diharapkan dapat memberi impak dan manfaat yang signikan kepada perkembangan sektor penjagaan kesihatan yang disediakan oleh Hospital Pengajar Universiti.

Memetik kata-kata YAB Perdana Menteri yang mahu melihat potensi besar Hospital Pengajar Universiti dijadikan sebagai entiti trend semasa mahupun arus perdana dalam sektor penjagaan kesihatan pada masa hadapan, Hospital Pengajar merupakan institusi unik dan berupaya untuk "Making Health Service Sustainable".

Saranan YAB Perdana Menteri itu bersesuaian dengan fungsi Hospital Pengajar Universiti. Bukan sahaja dilihat sebagai pusat penyebaran ilmu perubatan, hospital pengajar berfungsi sebagai penyampai perkhidmatan penjagaan kesihatan, pusat melahirkan pakar-pakar dan pencetus kepada usaha-usaha inovasi dalam bidang sains kesihatan dan perubatan.

Penubuhan konsortium akan menjadi platform di peringkat nasional bagi menyelaras secara bersepadu dan bersifat lebih agresif terutamanya dalam usaha menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan yang bertaraf global, penjenamaan semula Hospital Pengajar Universiti dan dapat memberi manfaat dalam penerokaan bidang baharu seperti pelancongan kesihatan, pemasaran dan galakan bagi persekitaran hidup sihat, pengurangan kos, perkongsian sumber, penyelarasan data pesakit, peningkatan kepakaran dan atau inkubator pakar perubatan serta peningkatan kolaborasi hasil penyelidikan dan inovasi.

Dengan adanya MoA ini, transformasi dalam bentuk tadbir urus yang inovatif kepada semua hospital pengajar universiti boleh dilihat dengan unjuran :

- Sekurang-kurangnya 15% penjimatan kepada pembelian ubat-ubatan dan peralatan perubatan
- Peningkatan kapasiti penyertaan pakar perubatan dan pakar baharu sebanyak 5-10% melalui program mobiliti
- 5% penjanaan pendapatan melalui aktiviti perlindungan insurans kesihatan atau pelancongan kesihatan.

Sekian, terima kasih.

ADDRESS

  • Pusat Perubatan Universiti Malaya,
    Lembah Pantai, 59100,
    Kuala Lumpur, MALAYSIA

EMAIL

  • Email : ummc@ummc.edu.my

TEL

  • Phone No : 03-79494422
    Fax : 03-79492030

WEBSITE

  • WEBSITE : www.ummc.edu.my