Jabatan Perubatan Pemulihan



Jabatan Perubatan Pemulihan merupakan sebuah jabatan yang menawarkan khidmat perawatan pemulihan, mengoptimum dan memaksimumkan fungsi harian serta kualiti hidup pesakit. Perkara ini adalah sangat penting terutamanya bagi pesakit yang mengalami masalah kesihatan sehingga menyebabkan kelemahan atau kecederaan pada fungsi anggota badan mereka. Fokus utama perkhidmatan di Jabatan Perubatan Pemulihan adalah untuk mencapai matlamat pesakit dengan berpandukan pengetahuan terkini dan kaedah yang telah diuji pakai serta diterima secara meluas. Setiap rawatan yang dirancangkan kepada pesakit adalah mengikut keperluan tertentu dan dijalankan menerusi kerjasama dari pelbagai bidang kepakaran yang ada di Jabatan Perubatan Pemulihan ini sendiri.

Perkhidmatan Klinikal Perubatan Pemulihan bermula hanya sebagai sebuah unit pada tahun 1991. Walaubagaimanapun, perkhidmatan ini telah berkembang dengan pesat dalam tempoh 10 tahun sehingga berjaya ditukarkan kepada status jabatan. Kini Jabatan Perubatan Perubatan Pemulihan mempunyai pelbagai perkhidmatan klinikal perubatan pemulihan yang terdiri daripada beberapa kepakaran khusus. Perkhidmatan khusus ini terdiri daripada Pakar dan Pegawai Perubatan Pemulihan, Pegawai Pemulihan Perubatan (Anggota, Cara Kerja dan Pertuturan), Jurupulih (Anggota dan Cara Kerja), Juruteknik Perubatan serta Jururawat terlatih . Hasil kerjasama daripada pelbagai bidang kepakaran ini, Jabatan Perubatan Pemulihan kini menyediakan proses pemulihan yang menyeluruh menerusi Perkhidmatan Pesakit Luar dan juga Pesakit Dalam.

Selain itu, Jabatan Perubatan Pemulihan juga merupakan sebuah pusat pengajaran bagi pelbagai bidang perubatan dan kesihatan yang berkait rapat dengan Perubatan Pemulihan serta berperanan sebagai nadi penyelidikan dan pembangunan dalam bidang Perubatan Pemulihan.

Jabatan Perubatan Pemulihan
Level 12, South Tower
University Malaya Medical Centre
Lembah Pantai
59100 Kuala Lumpur
No. Phone: +60 03-7949 2972 / 2593
No. Fax: +60 03 7967 4766
E-Mail: kj_rhm@ummc.edu.my

Sila rujuk portal Rehabilitation Medicine untuk maklumat lanjut

PASUKAN PERUBATAN PEMULIHAN
Perubatan Pemulihan merupakan perkhidmatan kepakaran yang bertujuan untuk membantu individu yang mengalami ketidakupayaan akibat penyakit atau kecederaan sehingga mereka mencapai tahap keberdikarian dan kefungsian yang optimum bagi meningkatkan kualiti hidup melalui program pemulihan yang berstruktur. Proses pemulihan terdiri daripada pelbagai disiplin yang diketuai oleh Pakar Perubatan Pemulihan untuk memberi rawatan pemulihan yang terbaik kepada setiap individu. Kami menawarkan khidmat konsultasi dalam pelbagai bidang yang melibatkan kekurangan upaya, penilaian fungsi dan keupayaan individu, penetapan matlamat perawatan dan memberi rawatan khusus untuk pemulihan individu.

BAHAGIAN FISIOTERAPI
World Confederation for Physiotherapy (WCPT) mendefinisikan fisioterapi sebagai “Terapi fizikal yang menawarkan perkhidmatan kepada individu dan populasi untuk membaikpulih, mengekal dan meningkatkan pergerakan serta memaksimumkan fungsi seharian sepanjang hayat. Perkhidmatan ini diberikan kepada individu yang mengalami limitasi pergerakan dan fungsi disebabkan proses penuaan, kecederaan, penyakit, kecelaruan dan/atau faktor keadaan sekeliling dan dengan memahami bahawa fungsi pergerakan adalah kunci kepada kesihatan”.

BAHAGIAN PEMULIHAN CARA KERJA
Pemulihan Cara Kerja merupakan profesion kesihatan yang menumpukan kepada kesihatan dan kesejahteraan individu melalui aktiviti kefungsian. Matlamat utama kami adalah untuk membolehkan individu melibatkan diri dalam aktiviti kehidupan seharian. Jurupulih Cara Kerja dapat merealisasikan tujuan ini dengan bekerjasama bersama individu dan pihak komuniti untuk meningkatkan kemampuan individu dalam aktiviti yang mereka inginkan, perlu, atau diharapkan dapat dilakukan dengan membuat modifikasi aktiviti / persekitaran untuk menyokong penglibatan mereka dalam aktiviti dengan lebih baik. (WFOT 2012).

BAHAGIAN PEMULIHAN PERTUTURAN
Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) memberikan perkhidmatan kepada pesakit yang mempunyai masalah pertuturan, bahasa,pemakanan (feeding), penelanan, suara dan komunikasi. Perkhidmatan yang diberikan adalah berasaskan sesi individu atau berkumpulan bergantung kepada diagnosis dan keperluan pesakit. Pegawai Pemulihan Perubatan Pertuturan juga bekerjasama dengan Pegawai Perubatan, Pakar Perubatan Pemulihan, Pegawai Perubatan Anggota, Pegawai Pemulihan Carakerja, jururawat, Pegawai Dietetik dan ahli profesional lain secara multidisiplin untuk memberikan perkhidmatan yang optimum kepada pesakit.

BAHAGIAN TEKNOLOGI PEMULIHAN DAN KERUSI RODA
Pada peringkat awalnya fokus bahagian ini adalah menyediakan kerusi roda dalam keadaan optimum untuk kegunaan pesakit semasa mereka berkunjung atau tinggal di dalam wad di mana pihak kami menyediakan perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan. 
Sehingga kini, perkhidmatan kami telah merangkumi pelbagai perkhidmatan iaitu   dari aspek penilaian sehingga ke peringkat penyediaan kerusi roda yang diperlukan oleh pesakit di mana ianya termasuk perkhidmatan pesakit luar, pembuatan/fabrikasi alat bantuan dan postural seating device serta latihan kerusi roda yang dilakukan oleh pasukan Wheelchair Professional Service berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dalam masa terdekat, bahagian ini merancang untuk terlibat di dalam pembangunan peralatan baru yang berteknologi tinggi.

ADVANCED ROBOTICS & REHABILITATION TECHNOLOGIES (ARRT)
ARRT adalah penggunaan robotik dan teknologi untuk membantu proses pemulihan. Perkembangan AART adalah berdasarkan konsep “neuroplasticity” (kemampuan sistem saraf untuk "melatih semula" dirinya).

KLINIK PEMULIHAN (PESAKIT LUAR)
Perubatan Pemulihan merupakan perkhidmatan kepakaran yang bertujuan untuk membantu individu yang mengalami ketidakupayaan akibat penyakit atau kecederaan sehingga mereka mencapai tahap keberdikarian dan kefungsian yang optimum bagi meningkatkan kualiti hidup melalui program pemulihan yang berstruktur. Proses pemulihan terdiri daripada pelbagai disiplin yang diketuai oleh Pakar Perubatan Pemulihan. Klinik ini menawarkan khidmat konsultasi dalam pelbagai bidang yang melibatkan kekurangan upaya. Berikutan konsultasi, pesakit akan dirujuk kepada terapi pesakit luar untuk menjalani program pemulihan yang khusus.

WAD PEMULIHAN (PESAKIT DALAM)
Perubatan Pemulihan merupakan bidang perubatan khusus untuk membantu proses pemulihan pesakit terutamanya pesakit neurologi, muskuloskeletal, ortopedik dan juga masalah perubatan lain yang menyebabkan masalah kefungsian kepada pesakit. Matlamat utama petugas kesihatan perubatan pemulihan adalah bagi membantu mengembalikan kualiti hidup dan mengoptimumkan potensi fungsi kesihatan pesakit. Wad Pemulihan menyediakan perkhidmatan program pemulihan pesakit dalam melalui program komprehensif hasil kerjasama petugas daripada pelbagai disiplin. Selain daripada Pakar Perubatan Pemulihan dan Pegawai Perubatan Pemulihan, pasukan kami juga terdiri daripada Jururawat Terlatih, Jurupulih Perubatan Anggota, Jurupulih Cara Kerja dan Pegawai Pemulihan Pertuturan agar dapat menyediakan perkhidmatan holistik dan perubatan yang terbaik. Kami juga mempunyai perkhidmatan Pegawai Sains Pemakanan, Pegawai Kebajikan dan Kaunselor.Wad Pemulihan terletak di tingkat 9 (Wad 9SA), Menara Selatan, PPUM.

PROSTETIK DAN ORTOTIK (P&O)
Prostetik dan Ortotik adalah satu perkhidmatan di dalam Jabatan Perubatan Pemulihan. Peralatan anggota badan (kaki & tangan) palsu yang dikenali sebagai prostetik dan juga peralatan sokongan iaitu ortotik dihasilkan berdasarkan prinsip biomekanik dan juga anatomi manusia. Peralatan prostetik dan ortotik yang dihasilkan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pesakit yang mempunyai ketidakupayaan yang melibatkan amputasi badan dan ketidakupayaan fizikal mendapat tahap kefungsian yang lebih baik. 

Di PPUM, syarikat Bioapps yang juga syarikat ‘spin-off’ di bawah Fakulti Kejuruteraan (Center for Applied Biomechanics), Universiti Malaya telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan ini. Maklumat lanjut berkenaan Bioapps dan juga perkhidmatan yang disediakan boleh diperolehi di bioapps.com.my.

Sila rujuk portal Rehabilitation Medicine untuk maklumat lanjut

 



ALAMAT

  • Pusat Perubatan Universiti Malaya,
    Lembah Pantai, 59100,
    Kuala Lumpur, MALAYSIA

EMEL

  • Emel : ummc@ummc.edu.my

TEL

  • No Tel : 03-79494422
    Faks : 03-79492030

LAMAN WEB

  • LAMAN WEB : www.ummc.edu.my