Jabatan Obstetrik & Ginekologi



Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Malaya adalah sebuah Jabatan Klinikal di bawah Fakulti Perubatan Universiti Malaya. Diperkenalkan pada tahun 1964. Sejak itu, jabatan ini terlibat aktif dalam memberi tunjuk ajar kepada program siswazah dan pascasiswazah di samping menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi. Untuk sekian lamanya, jabatan ini telah menjadi antara pusat rujukan tertiari utama dalam permasalahan Obstetrik dan Ginekologi di Malaysia.

Jabatan ini ditubuhkan pada 1984, setahun selepas Fakulti Perubatan Universiti Malaya diasaskan. Ketua Jabatan pertama telah disandang oleh Professor Donald P.C Chan sehingga 23 Mei 1971.

Sejak ditubuhkan, jabatan ini telah terlibat dalam pengajaran bagi pengajian siswazah perubatan sehingga mencapai ijazah Sarjana Muda Pembedahan (MBBS). Sejak 1988, Ijazah Sarjana Obstetrik & Ginekologi diperkenalkan, ramai pelajar pascasiswazah dan tenaga kepakaran muda dalam bidang Obstetrik & Ginekologi menamatkan pengajian dan kini berkhidmat menyelamatkan ibu-ibu yang mengandung bersalin dengan selamat. Jabatan ini juga menyediakan kuliah dan penyeliaan kepada pelajar kejururawatan dan pelajar kejururawatan lanjutan.

PENGENALAN KEPADA UNIT OBSTETRIK

A) KLINIK DAN WAD

i) Klinik Antenatal

Klinik Antenatal menyediakan perkhidmatan kepada ibu mengandung di sekitar Lembah Klang. Klinik ini sentiasa menjadi keutamaan tempahan awal ibu-ibu serta menjadi rujukan oleh pengamal perubatan dan pusat kesihatan luar bagi kes-kes kehamilan berisiko tinggi. Ini termasuklah semua kes primigravida, grandmultipara dan pesakit yang mengalami komplikasi atau bersalin secara pembedahan pada kehamilan sebelum ini atau mengalami komplikasi perubatan ketika kehamilan semasa. Ibu-ibu ini adalah dinasihatkan mendaftar dan membuat tempahan awal di klinik. Semasa membuat tempahan, butiran rekod obstetrik semasa dan terdahulu, perubatan, pembedahan, sejarah keluarga, latar belakang sosial dan sejarah perkahwinan, corak kitaran haid dan kontrasepsi akan diberikan perhatian.

Semasa hadir membuat pendaftaran dan tempahan, pemeriksaan darah akan dibuat termasuk jumlah penuh, kumpulan darah dan Rhesus, ujian RPR dan Hepatitis B Serology. Ujian tapisan HIV juga dijalankan bagi mereka yang telah bersetuju selepas diberi kaunseling. Air kencing juga akan kerap diuji bagi kandungan albumin dan gula.

Pemeriksaan fizikal yang lengkap dan sistematik turut dibuat termasuk ketinggian dan berat badan. Tekanan darah, berat badan dan tanda kehadiran oedema atau pucat akan diperhatikan. Pemerhatian khusus diberikan kepada kelenjar tiroid, payudara, sistem kardiovaskular dan respiratori. Rabaan dibuat pada abdomen untuk memeriksa aras fundal dan memeriksa kehadiran, kedudukan dan penempelan janin. Detak jantung janin dinilai menggunakan Stetoskop Pinard atau Daptone. Ujian Ultrasound dibuat semasa tempahan dan sekiranya perlu.

Jika tiada sebarang komplikasi, pesakit akan menjalani pemeriksaan susulan setiap 4 minggu sehingga minggu ke-28, setiap 2 minggu sehingga minggu ke-36, dan setiap minggu sehingga bersalin. Pada setiap pemeriksaan susulan, air kencing akan diuji bagi kandungan albumin dan gula. Ujian rabaan perut juga turut dibuat.

Jumlah Haemoglobin (sel darah merah) diperiksa secara rutin pada tempoh tempahan dan pada minggu ke-32 kehamilan. Semua pesakit diberikan prophylactic iron, asid folik dan nasihat umum berkaitan kebersihan, nutrisi, senaman, penjagaan payudara dan penyusuan. Jika berlaku sebarang komplikasi, pesakit akan dimasukkan ke wad antenatal.

ii) Wad Bersalin

Semasa kemasukan, sejarah dan latar belakang pesakit direkodkan. Jika pesakit di dalam situasi bersalin, enema diberikan. Pesakit kemudiannya terus dibawa ke Dewan Bersalin. Semasa pemeriksaan pelvik, pemecahan selaput secara artificial dibuat sekiranya terdapat sebarang tanda-tanda. Partogram digunakan bagi memantau pesakit di Wad Bersalin.

Visi

Menjadi institusi kecemerlangan yang menyediakan pimpinan dalam aktiviti pendidikan, latihan, penyelidikan, pembangunan, hebahan dan memberikan perkhidmatan dalam bidang obstetrik & ginekologi serta segala sub-kepakaran berkaitan.

Misi

Jabatan ini melihat misi di peringkat ijazah sarjana muda dengan tanggungjawab untuk mempersiap siagakan graduan berpotensi, melalui program pengajaran siswazah perubatan, untuk menggalas tugas dalam perkhidmatan kesihatan yang berkesan dan efisyen kepada masyarakat di seluruh pelusuk negara.

Jabatan ini melihat misi di peringkat ijazah sarjana dengan tanggungjawab untuk melahirkan para doktor profesional dan pakar dalam bidang obstetrik dan ginekologi serta sub-kepakaran berkaitan, melalui program latihan peringkat pascasiswazah. Jabatan ini juga menganggap adalah menjadi tanggungjawab untuk berkongsi dan menyampaikan ilmu dan kemahiran yang dimiliki kepada pihak yang berminat. Hal ini dilihat dapat dicapai melalui penganjuran kursus jangka masa pendek dari semasa ke semasa.

Secara amnya, fungsi utama jabatan ini adalah untuk menjalankan pengajaran peringkat siswazah dan pasca-siswazah, penyelidikan dan perkhidmtan klinikal dalam bidang obstetrik dan ginekologi.

Maklumat untuk dihubungi

Jabatan Obstetrik & Ginekologi,
Fakulti Perubatan,
Universiti Malaya,
50603 Kuala Lumpur,
MALAYSIA

Tel : +603-7949 2059
Faks : +603-7955 1741

Emelszawiah@um.edu.my

Jabatan O&G menyediakan perkhidmatan konsultasi, diagnosis, rawatan, kaunseling, pencegahan dan pemulihan kepada pesakit termasuklah bagi program dan perkhidmatan berikut:

  • Obstetrik & Ginekologi Am
    • Perkhidmatan Pesakit Luar (Antenatal, Postnatal dan Klinik Ginekologi).
    • Perkhidmatan Pesakit Dalam (seperti yang diperincikan di bawah).
    • Perkhidmatan Bersalin (Pembidanan).
    • Perkhidmatan Penjagaan Harian.
  • Sub-kepakaran
    • Onkologi Ginekologi
    • Perubatan Ibu-Janin
    • Endokrinologi & Subfertiliti Reproduktif
    • Uroginekologi

Perkhidmatan Pesakit Luar

  • Menyediakan perkhidmatan diagnostik, rawatan penyembuhan dan kepakaran bagi pesakit yang memerlukan pengurusan dan rawatan susulan kes Antenatal, Postnatal dan Ginekologikal.
  • Klinik pesakit luar beroperasi pada waktu pejabat mengikut jadual.

Perkhidmatan Pesakit Dalam

Jabatan O&G mempunyai perkhidmatan pesakit dalam seperti berikut termasuk bagi kes Antenatal, Postnatal, wad Ginekologi dan Dewan Bersalin.

  • Antenatal & Postnatal
    1. Menyediakan fasiliti untuk menjalankan penilaian, diagnosis, rawatan, penjagaan dan pemulihan bagi semua ibu dan bayi antenatal serta postnatal.
    2. Menyediakan perkhidmatan insiatif penyusuan ibu.
  • Pembedahan dan Penjagaan Ginekologi
    1. Menyediakan fasiliti untuk menjalankan penilaian, diagnosis, rawatan, penjagaan dan pemulihan pesakit Ginekologi dan Onkologi Ginekologi berumur 13 tahun ke atas.
  • Perkhidmatan Bersalin
    1. Menyediakan fasiliti bersalin bagi ibu-ibu di dewan bersalin dan kecemasan maternal.
    2. Pengurusan bayi baru lahir.
    3. Menyediakan perkhidmatan bersalin kecemasan menerusi panggilan ambulans.

Perkhidmatan Penjagaan Harian

Menyediakan fasiliti penjagaan harian bagi kes bersalin yang memerlukan kemoterapi, pemerhatian, dan menjalani pembedahan kecil/ lain-lain prosedur tanpa memerlukan pesakit dimasukkan ke wad. Sebagai contoh adalah bagi pesakit yang memerlukan transfusi darah, cucian luka, dan pemeriksaan radiologi seperti CT scan, ultrasound, dll.

Sub-kepakaran

Onkologi Ginekologi

Menyediakan penjagaan dan perawatan kepada pesakit kanser ginekologi.

Perubatan Ibu-Janin

Menyediakan perkhidmatan pelbagai prosedur seperti:

  • Ultrasound Obstetrikal dan Ginekologi 
  • Prosedur Invasif Prenatal seperti Amniocentesis, CVS (Chorionic Villus Sampling) dan Cordocentesis
Endokrinologi & Subfertiliti Reproduktif

Menyediakan teknologi terkini dalam menjalankan ujian dan pemeriksaan serta pengurusan kes ketidaksuburan seperti analisa sperma dan teknik reproduktif buatan.

Uroginekologi

Pengurusan pesakit dengan masalah uroginekologi.

Risalah

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE JABATAN OBSTETRIK & GINEKOLOGI

Pada 9 Julai 2018, PPUM menerima lawatan dari pelajar-pelajar Politeknik Makassar Program Diploma Kebidanan ke Jabatan Obstetrik & Ginekologi. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mempelajari serta berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam bidang ini.



ALAMAT

  • Pusat Perubatan Universiti Malaya,
    Lembah Pantai, 59100,
    Kuala Lumpur, MALAYSIA

EMEL

  • Emel : ummc@ummc.edu.my

TEL

  • No Tel : 03-79494422
    Faks : 03-79492030

LAMAN WEB

  • LAMAN WEB : www.ummc.edu.my