Jabatan Oral Maksilofasial



Jabatan Oral dan Maksilofasial adalah sebuah disiplin hospital bagi rawatan pergigian dan perubatan/pembedahan yang diperlukan oleh pesakit. Ia ditubuhkan pada bulan Mei 2013 di bawah Pusat Perubatan Universiti Malaya. Sebelum 2013, semua perkhidmatan pergigian bagi pesakit hospital telah diberikan oleh Jabatan Pembedahan Mulut dan Maxilofasial, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya. Diawal pertubuhan, jabatan ini hanya merangkumi kepakaran Pembedahan Mulut dan Maxilofasial, Patologi Mulut dan Perubatan Mulut. Kemudian, pada 2016, jabatan ini telah dinaiktaraf dengan kepakaran lain seperti Pergigian Pediatrik, Pergigian Keperluan Khas, Pengimejan Oral dan Maksilofasial dan Pergigian Forensik. Jabatan ini bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan berkaitan penjagaan kawasan mulut dan maksilofasial. Ianya juga memberi latihan kepada pelajar ijazah dasar dan ijazah tinggi.

Sekretariat:
Jabatan Oral dan Maksilofasial,
Pusat Perubatan Universiti Malaya,
59100 Kuala Lumpur.
Nombor telefon: Dalam proses permohonan
Emel: kj_maksilofasial@ummc.edu.my

 

 

Jabatan ini terbahagi kepada beberapa unit:

Unit Bedah Mulut dan Maksilofasial

Unit ini Bedah Mulut dan Maksilofasial memberi perkhidmatan berkaitan kepakaran pembedahan yang diiktiraf antrabangsa merangkumi diagosis, pembedahan dan rawatn berkaitan pelbagai penyakit, kecederaan, kecacatan dan kecantikan bahagian mulut, gigi, rahang, muka, leher dan kepala. Di antara contoh keadaan tersebut ialah manifestasi mulut disebabkan penyakit sistemik, jangkitan mulut dan muka, kesakitan muka, anomali pergigian, percanggahan muka dan rahang, malignansi mulut, kecacatan kongenital muka seperti sumbing bibir dan lelangit, pembinaan semula mulut dan rahang secara pembedahan.

Unit ini juga menawarakan perkhidmatan pelbagai kepakaran, iaitu:

  1. Klinik Trauma
  2. Klnik Kanser Mulut
  3. Klinik Osteonecrosis
  4. Klinik Implan
  5. Klinik Bersepadu Pembedahan Orthognathic
  6. Klinik Bersepadu Kraniofasial
  7. Klinik Bersepadu Klef
  8. Klinik Bersepadu Gangguan Sendi Rahang

 

Unit Pergigian Pediatrik

Pergigian Pediatrik adalah sebuah kepakaran yang ditentukan mengikut umur (dibawah 16 tahun) yang memberikan perkhidmatan pencegahan dan rawatan kesihatan mulut primer dan menyeluruh kepada bayi, kanak-kanak dan remaja, termasuk golongan keperluan khas.

Rawatan tersebut melibatkan promosi, pencegahan, kuratif dan rehabilitasi pergigian. Unit ini menyantuni kes-kes rujukan pesakit-pesakit dalaman dan luaran. Kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas adalah keutamaan dan juga mereka yang mempunyai:

  • masalah perubatan seperti penyakit jantung kongenital, diskrasia darah, pesakit onkologi dan transpan, pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti asma, penyakit ginjal dan juga pesakit imunokompromi.
  • masalah pembelajaran seperti Down Syndrome, Autisme, ADHD dan sebagainya
  • kecacatan fizikal seperti cerebral palsi, kecacatan penglihatan, pendengaran dan pertuturan.
  • malformasi kawasan orofacial kongenital atau diperoleh seperti sumbing bibir dan lelangit dan gangguan kraniofasial.
  • fobia pergigian
  • karies awal kanak-kanak atau karies rampan
  • anomali pergigian seperti amelogenesis imperfecta, dentinogenesis imperfecta, hypodontia, dan supernumerari.

 

Selain memberikan rawatan pergigian asas, perkhidmatan juga melibatkan pembedahan gigi dan tulang alveolar, interceptive orthodontics, pengurusan kecederaan orofasial, rawatan saluran akar gigi susu dan kekal, pengurusan patologi mulut dan peruntukan prostesi mulut dan maksilofasial juga diberikan.

Kes-kes elektif dan kecemasan dibawah bius am dirawat di dewan pembedahan. Kes kecemasan pergigian diluar waktu pejabat adalah dikendalikan oleh pelajar ijazah lanjutan dan pakar on-call di Jabatan Kecemasan PPUM.

Unit Keperluan Pergigian Khas

Keperluan Pergigian Khas merujuk kepada pengurusan bagi kesihatan mulut pesakit yang terjejas teruk akibat masalah intelektual, fisikal, perubatan atau psikiatri, atau lebih kerap, gabungan beberapa faktor di mana keadaan seperti itu memerlukan penyampaian penjagaan kesihatan mulut yang diubah suai untuk kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan pesakit. Di unit ini, kami memberikan rawatan pergigian untuk pesakit keperluan khas yang sukar untuk mendapatkan rawatan di klinik pergigian komuniti kerana masalah perubatan atau kecacatan mereka. Keutamaan diberikan kepada pesakit dalaman PPUM yang berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai masalah perubatan yang kompleks, pelbagai komorbiditi dan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan.

Unit Perubatan Mulut dan Patologi Mulut

Perubatan Mulut dan Patologi Mulut merangkumi penyiasatan, diagnosis dan pengurusan bukan pembedahan bagi penyakit yang melibatkan kawasan mulut dan maksilofasial. Penyakit mulut mempunyai pelbagai manifestasi klinikal dan boleh didiagnoskan sebagai penyakit mulut setempat atau masalah perubatan dengan penglibatan mulut, rahang dan kalenjar air liur atau sebagai mendasari tanda penyakit sistemik. Spesimen-spesimen dari klinik-klinik di Fakulti Pergigian dan dari luar juga diterima untuk penterjemahan mikroskopik.

Unit Pengimejan Oral dan Maksilofasial

Radiologi Oral dan Maksilofasial adalah sebuah kepakaran pergigian dan disiplin radiologi yang merangkumi pengeluaran dan penterjemahan imej radiografik. Radiograf dalam dan luar mulut termasuk CBCT digunakan untuk memberi maklumat diagnostik untuk perancangan rawatan dan pengurusan masalah, penyakit dan keadaan yang mempengaruhi mulut, muka dan rahang.

Unit Pergigian Forensik

Pergigian Forensik adalah kepakaran pergigian yang berkaitan bukti pergigian yang melibatkan kepentingan keadilan. Skop unit ini merangkumi pengiktirafan, pengendalian, pemeriksaan, dokumentasi, pemeliharaan, interpretasi dan analisis bukti pergigian dan oro-fasial yang betul. Penemuan dan pendapat dari penilaian komprehensif yang berkaitan dengan bukti dapat disampaikan kepada Mahkamah. Kerja teras pergigian forensik adalah mewujudkan identiti jasad yang tidak dikenali melalui analisis perbandingan pergigian. Kaedah pengenalan ini juga digunakan terutamanya dalam pengenalan mangsa bencana. Komponen kerja lain dari kepakaran ini adalah memberikan pendapat yang berkaitan dengan anggaran usia, perbandingan wajah, kecederaan tisu keras dan lembut, dan analisis kesan gigitan.

 

Ujian Serology COVID-19 untuk Pekerja Kesihatan di PPUM telah dijalankan oleh jabatan melibatkan dan kakitangan jabatan pada 25 Februari 2021.



ALAMAT

  • Pusat Perubatan Universiti Malaya,
    Lembah Pantai, 59100,
    Kuala Lumpur, MALAYSIA

EMEL

  • Emel : ummc@ummc.edu.my

TEL

  • No Tel : 03-79494422
    Faks : 03-79492030

LAMAN WEB

  • LAMAN WEB : www.ummc.edu.my