CIGMIT


Apa itu CIGMIT?

CIGMIT (Pusat Pengimejan Berpandu dan Terapi Invasif Minimal) adalah tambahan perkhidmatan teknologi terkini dan paling inovatif di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hospital dan sekolah perubatan terulung di Malaysia. CIGMIT adalah gabungan doktor pakar terlatih, dilengkapi sistem serta perisian pengimejan diagnostik dan perubatan untuk membantu navigasi pembedahan di dalam dewan bedah bersepadu bagi meningkatkan hasil pembedahan dan memberi perkhidmatan penjagaan yang lebih baik kepada pesakit.


Struktur CIGMIT

Dewan bedah hibrid CIGMIT menggabungkan pengimbas CT dan MRI dalam sebuah dewan bedah yang boleh digunakan semasa pembedahan dijalankan, untuk memastikan pakar pedah mendapat perincian maklumat yang tepat dan terkini. CIGMIT terdiri daripada dua buah dewan bedah hibrid dilengkapi pusat radiosurgeri yang membentuk satu fasiliti bersepadu komprehensif.

1) CIGMIT 1 (Imbasan MRI)

Dewan bedah ini dihubungkan kepada pengimbas MRI Siemens Magnetom Aera 1.5T dan amat berkesan bagi prosedur pembedahan melibatkan ketumbuhan pada otak dan struktur bahagian tengah.

2) CIGMIT 2 (Imbasan CT)

Dewan bedah kedua ini dihubungkan kepada pengimbas CT Siemens Somatom AS+ 128-slice. Dengan bantuan pengimbas CT, prosedur pembedahan melibatkan bahagian kepala, leher dan tulang belakang boleh dipertingkatkan. Semasa tidak digunakan, pengimbas boleh digunapakai bagi tujuan pengimejan diagnostik dan membantu keperluan Jabatan Pengimejan Bio-Perubatan.

3) Radioterapi

Pusat radioterapi menggunakan mesin radiosurgeri Novalis TX untuk menyediakan rawatan bukan invasive dengan mensasarkan ketumbuhan yang lebih kecil atau dalam erti kata lain menjadi pelengkap kepada rawatan kemoterapi dan/atau surgeri.

Dengan menggunakan pancaran cahaya bertenaga tinggi ke pelbagai arah, sel-sel kanser akan dihapuskan sementara sel-sel yang sihat dapat diselamatkan.

4) Brainlab

Perisian perubatan dan sistem navigasi pembedahan oleh Brainlab menghubungkan secara digital dewan bedah dan pusat radiosurgeri. Imej digital pesakit, yang diambil sebelum dan semasa prosedur dijalankan, boleh dipaparkan dan dimanipulasi sebagai panduan kepada pakar bedah bagi mendapatkan hasil terbaik buat pesakit.

5) Bilik Seminar

Perisian Paparan Perubatan oleh MedCom menghubungkan dewan-dewan bedah kepada bilik-bilik seminar. Para pelajar perubatan kini boleh melihat pembedahan yang kompleks secara lebih dekat dan jelas dalam paparan video berdefinisi tinggi yang dihubungkan ke bilik-bilik seminar tanpa perlu bersesak dalam ruang yang terhad di dewan bedah.


Model Kewangan Unik

CIGMIT juga secara tidak langsung mempamerkan kejayaan projek Kerjasama Awam-Swasta. Model kewangan ini adalah yang pertama seumpamanya dalam industri penjagaan kesihatan. Malin Fractional Sdn Bhd, sebuah syarikat pakar yang menjadi rakan kongsi sektor swasta, menyediakan pembiayaan, membangunkan kemudahan tersebut dan akan menyelenggara kemudahan itu selama 10 tahun. Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sebagai rakan kongsi sektor awam pula, akan menyediakan kepakaran mereka dalam menjalankan kemudahan itu dan menyediakan semua kakitangan perubatan.

"Kami berbangga menjadi sebahagian daripada projek mercu tanda ini serta menyediakan perkhidmatan penjagaan perubatan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia dan kami berharap dapat menjalinkan kerjasama seperti ini dengan hospital lain di Malaysia," kata Dr V Nathan, Pengarah Malin Fractional Sdn Bhd. Kejayaan projek kerjasama ini akan membantu memajukan perkembangan masa hadapan dalam industri penjagaan kesihatan Malaysia - mendorongnya ke tahap yang lebih tinggi.


Kejayaan Malaysia

Terdapat hanya kira-kira empat kemudahan bersepadu yang sama seperti ini di dunia - menonjolkan piawaian bertaraf dunia dalam industri penjagaan kesihatan Malaysia.


Mengenai Malin Fractional

Malin Fractional Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Biogreen Commerce Sdn Bhd. Ia adalah syarikat yang diwujudkan secara khusus untuk projek ini.




PPUM - PERLANCARAN CIGMIT









ALAMAT

  • Pusat Perubatan Universiti Malaya,
    Lembah Pantai, 59100,
    Kuala Lumpur, MALAYSIA

EMEL

  • Emel : ummc@ummc.edu.my

TEL

  • No Tel : 03-79494422
    Faks : 03-79492030

LAMAN WEB

  • LAMAN WEB : www.ummc.edu.my