7. DASAR PENCEGAHAN SERANGAN VIRUS

7.1 Kenyataan Dasar

Sistem antivirus diimplementasikan untuk menghalang dan menangkis serangan virus ke dalam sistem rangkaian di PPUM.

Pemantauan secara imbasan berjadual secara jarak jauh dari pelayan antivirus akan dilaksanakan pada setiap hari di setiap komputer pengguna yang berada dalam rangkaian PPUM. Ini adalah bagi memastikan serangan virus daripada luar rangkaian akan dapat dihalang dan ditangkis supaya sistem berada dalam keadaan selamat dan stabil sepanjang masa.

7.2 Tafsiran

Perisian Antivirus adalah satu perisian yang boleh mengesan kehadiran virus dalam sistem komputer dan seterusnya memusnahkan virus tersebut.

Imbasan adalah proses menjejaki atau mengesan virus di sesebuah komputer.

‘Host’ adalah komputer kawalan pusat di mana capaian kawalan perisian dan perkakasan aplikasi dijalankan.

‘Gateway’ adalah sejenis perisian antivirus yang digunakan diperingkat suis ‘router’ atau ‘firewall’ dimana laluan trafik internet keluar dan masuk.

‘Malicious’ adalah sejenis aturcara program / skrip yang boleh melaksanakan arahan untuk memuat turun dan mengaktifkan virus ke dalam komputer.

Media Storan Luar adalah media tambahan yang digunakan untuk simpanan fail dan data seperti kad memori, pendrive, disket, CD dan juga extenal hard disk.

Spam adalah emel yang dihantar ke akaun emel orang lain yang tidak dikenali penghantar dalam satu masa dan secara berulang-ulang (kandungan emel yang sama). Ini menyebabkan kesesakan rangkaian dan peti emel.

Virus adalah perisian yang boleh memusnahkan kandungan cakra serta memadamkan fail dan program dalam memori. Ciri utama virus adalah ia boleh mewujudkan replika baru dan “menjangkiti” program-program lain dengan menyangkutkan dirinya kepada program-program tersebut. Virus disebarkan melalui perkongsian program, emel, dokumen dan media yang “tercemar”.

‘Trojan Horse’ adalah merupakan sebahagian daripada program komputer yang mempunyai fungsi yang biasanya boleh digunakan, tetapi kod Trojan Horse mempunyai fungsi yang tersorok. Apabila aktif, fungsi tersebut melakukan aktiviti terlarang. Trojan Horse biasanya disebarkan melalui lampiran kepada e-mel dan muat turun melalui internet.

7.3 Skop

Perlaksanaan antivirus adalah meliputi semua komputer pengguna dan pelayan di PPUM.

7.4 Kuasa dan Tanggungjawab

  1. Adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk sentiasa melakukan imbasan di komputer masing-masing bagi memastikan komputer mereka bebas daripada serangan virus ketika mengakses mana-mana fail dalam media storan luar yang dibawa ke pejabat; dan
  2. Adalah menjadi tanggungjawab PTj Nadi IT untuk memastikan Sistem Pengurusan Anti Virus sentiasa berfungsi dengan lancar dan berkesan serta sentiasa dikemaskini sepanjang masa bagi memastikan komputer-komputer pengguna dan juga pelayan di PPUM bebas daripada virus.

7.5 Prosedur

7.5.1 Pengurusan Anti Virus Berpusat

  1. PTj Nadi IT menggunakan sistem ‘Antivirus’ berpusat di mana ia dikawal secara berpusat di pelayan antivirus dan secara jarak jauh di komputer pengguna serta pelayan lain.
  2. Pelayan antivirus akan mengemaskini fail tandatangan virus (‘virus signature file’) setiap hari. Pelayan akan menghubungi ‘host’ pembekal untuk mendapatkan fail definisi virus terkini pada masa yang dijadualkan untuk mengesan virus yang terkini dan pelayan antivirus akan memuat turun fail tandatangan tersebut secara automatik dan mengemaskini semua pelayan dan komputer pengguna yang lain di PPUM.
  3. Komputer pengguna dan pelayan juga akan dikemaskini secara automatik pada setiap hari seperti mana yang telah dijadualkan.

7.5.2 Tatacara Mengatasi Masalah Virus

i.Imbasan berjadual (‘Schedule Scan’) :

Imbasan berjadual secara jarak jauh daripada pelayan antivirus akan dilakukan pada setiap komputer pengguna dan pelayan yang berada dalam rangkaian PPUM seperti mana yang telah dijadualkan. Status imbasan yang dilakukan dapat dilihat daripada pelayan antivirus berpusat;

ii.Imbasan pada lokasi :

Dijalankan oleh pengguna sendiri di komputer masing masing. Pengguna digalakkan melakukan imbasan sendiri dengan menggunakan perisian Antivirus yang telah diinstalasi di komputer masing-masing terutamanya semasa mengakses fail-fail dari media storan luar; dan

iii.Perlindungan Masa Benar ( ‘Real Time Protection’):

Mengesan dan membasmi virus yang hendak memasuki komputer semasa mengakses media storan luar, emel, melayari laman web atau memuat turun fail daripada internet secara automatik.Tindakan memuat turun bahan-bahan daripada internet atau email adalah di atas tanggungjawab pengguna.

7.5.3 Pembersihan Virus

Perisian antivirus akan melakukan pembersihan setiap virus yang dikesan samada secara automatik, berjadual atau masa benar. Pembersihan dilakukan secara masa benar bagi memastikan setiap komputer dan pelayan adalah selamat setiap masa. Sekiranya pembersihan tidak berjaya dilakukan, fail atau data yang dijangkiti virus akan dihapuskan dan dikuarantinkan serta merta.

7.5.4 Penetapan Perisian

Perisian antivirus adalah diuruskan dan dikawal secara jarak jauh di PTj Nadi IT. Sebarang perubahan penetapan yang dilakukan oleh pengguna tidak akan memberi apa-apa kesan.

7.5.5 Jenis Anti Virus

i. Emel

Perisian antivirus untuk sistem emel merangkumi keupayaan untuk bertindak sebagai :

  1. Anti ‘Spam’
  2. Anti ‘Relay’
  3. Anti Virus Emel

ii.‘Gateway’

Perisian antivirus ‘Gateway’ digunakan untuk mengimbas laluan internet pengguna PPUM. Semua aplikasi dan laman web yang melalui laluan internet PPUM akan diimbas bagi mengelakkan rangkaian dimasuki virus melalui muat turun fail dari internet.

iii.Website Filtering’

Perisian antivirus akan melakukan semakan ke atas carian internet yang dilakukan oleh pengguna bagi memastikan carian internet adalah selamat untuk dilayari. Penanda keselamatan akan diletakkan pada setiap carian yang dilakukan mengikut tahap keselamatan yang betul selepas imbasan dilakukan.

7.6 Dokumen Berkaitan

Dokumen berkaitan adalah Dokumen Kualiti yang digunakan dalam Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2000. Dokumen yang dimaksudkan adalah Prosedur Kerja (PK), Arahan Kerja (AK), Borang Kualiti (BK) dan Dokumen Sokongan (DS).

Last Updated on Tuesday, 03 January 2012 07:04

 
Decrease font size Default font size Increase font size
Free business joomla templates